AL MANNA (ARABIC GUM) : SEJARAH, PREBIOTIK DAN BENARKAH GUM ARABIC MAMPU MERAWAT BUAH PINGGANG?

Beberapa tahun ini, ‘Arabic gum’ atau gam arab telah menjadi salah satu makanan yang terkenal dan dikatakan mampu memberi pelbagai manfaat kesihatan. Bahkan ada yang mengatakan ia mampu menyembuhkan pesakit yang mempunyai masalah kegagalan buang pinggang dan beberapa penyakit lain.

Asal Usul Arabic Gum

Arabic gum berasal daripada pokok Acacia senegal, ia juga diperoleh dari pokok Acacia seyal (sebelum ini dikenali sebagai Vachellia seyal).  Ia adalah pokok berduri, berbatang kecil yang selalunya tumbuh hingga ke ketinggian 15 kaki. 
Pokok ini adalah natif di kawasan padang pasir seperti sub-sahara afrika, Oman, Pakistan dan Pantai barat India. Ketika kemarau, kulit pokok tersebut pecah mengeluarkan lelehan sap (getah?) yang berbentuk seperti titisan air dan mengeras menjadi seperti apa yang digelar arabic gum.
Pada zaman sekarang, arabic gum secara kormesialnya dikeluarkan daripada pokok tersebut dengan cara menoreh kulit pokok acacia dan lelehan arabic gum tersebut akan diambil untuk dipasarkan. Kualiti gam selalunya dapat dibezakan dengan keadaan pokok ketika mana gam tersebut terhasil sama ada ia terhasil ketika kemarau yang ekstrim atau diambil dengan cara torehan kulit pokok. Gam yang terhasil ketika musim kemarau mempunyai kualiti yang lebih bagus daripada gam yang diambil secara torehan.


Kualitinya juga ditentukan dari jenis arabic gum seperti Combretum dan juga daripada genus pokok Albizia. Harganya lebih murah daripada gam acacia. Ia mengandungi tannin yang agak menjejaskan rasanya. Kini, 80% bekalan arabic gum dunia dieksport dari negara Sudan (dari varieti pokok Acacia senegal). Namun, dari sudut sejarahnya arabic gum diperoleh dari pokok Acacia nilotica yang dikatakan tumbuh sepanjang Sungai Nil dahulu (sekarang ia digelar gum india atau amvarati gum)

Sejarah


Gam arab telah lama digunakan dalam dunia perubatan tradisional. Orang mesir selalu menggunakannya dalam minuman dan makanan, ia juga untuk ubatan bagi mengurangkan rasa sakit. Pengamal perubatan tradisional selalu menggunakannya untuk pelbagai jenis penyakit. Sebagai pelawas, melegakan cirit-birit, menghilangkan sakit gigi dan sakit kepala, malah ia dipercayai untuk menajamkan ingatan dan menghindar dari penyakit nyanyuk dan lupa.
Hari ini, ianya digunakan secara meluas dalam industri farmaseutikal (sebagai bahan dalam pembuatan kapsul dan ‘tablet coating’, penstabil) dan bahan yang sangat penting dalam industri pembuatan makanan. 
Jika anda pernah membaca bahagian label makanan, pasti pernah terjumpa perkataan ‘penstabil makanan’ atau E414 yang digunakan sebagai kod bagi gum acacia sebagai ‘food additive’. Selepas ini tidak perlulah kita terpengaruh dengan retorik kisah berantai nombor E pada makanan yang dikatakan berasal dari babi dan tidak halal ya?
Arabic gum ini juga digunakan secara meluas dalam industri penghasilan cat dan pewarna untuk lukisan, sebagai bahan yang melindungi permukaan supaya tahan lama, salah satu bahan dalam proses ‘glazing’ bagi pembuatan seramik dan pelbagai lagi kegunaan.
Ia juga digunakan sebagai gel yang diletakkan di luka seperti ulser di dalam mulut yang berfungsi untuk mengurangkan sakit.
Sebelum ini, ia pernah digunakan dalam hospital dimana ia berfungsi untuk meningkatkan tekanan darah pesakit ketika mana pendarahan berlaku sewaktu pembedahan. Pada ketika itu, penggunaannya adalah dengan cara menyuntik larutan gam tersebut terus ke dalam saluran darah. Tetapi penggunaanya didapati menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan juga hati.

Apakah sifat Gam acacia dan kandungan di dalamnya?


Gam Acacia adalah rapuh, tidak berbau dan tidak mempunyai rasa. Ia mengandungi gula kompleks, asid, kalsium dan beberapa jenis elektrolit yang lain.
Komposisi kimia arabic gum adalah terdiri dari polisakarida (rantaian gula panjang) arabinogalactan yang bersangkutan dengan protein. Rantaian arabinogalactan ini terdiri dari gula jenis arabinose dan galactose. Menariknya, nama gula arabinose tersebut diperoleh dari tumbuhan Acacia ini (ARAB tree, ARAB sugar, ARABinose)
Ia sangat mudah larut dalam air dan tidak larut dalam pelarut organik.

Gam Arab dan Prebiotik


Apakah prebiotik? Prebiotik adalah makanan bagi bakteria baik di dalam usus. Perlu diketahui bahawa gam arab merupakan salah satu prebiotik yang terbaik untuk pertumbuhan bakteria baik dalam usus.
Kesemua prebiotik adalah fiber iaitu terdiri daripada karbohidrat kompleks yang tidak boleh diuraikan oleh sistem pencernaan manusia. Tetapi tidak semua fiber boleh bertindak seperti prebiotik.
Bakteria di dalam usus akan menjalankan proses penapaian untuk menguraikan fiber tersebut dan hasil daripada penapaian itu akan digunakan sebagai tenaga bagi bakteria di dalam usus. Penguraian fiber itu juga akan menggalakkan pembiakkan bakteria baik di dalam usus.
Bukan itu sahaja, proses penapaian tersebut juga akan menghasilkan rantaian pendek asid lemak (Short chain fatty acid) yang sangat bermanfaat bagi manusia. 3 jenis asid lemak yang selalu dihasilkan adalah acetate, butyrate dan propionate. Salah satu fungsi asid lemak tersebut adalah ia mengurangkan pH usus besar menjadikannya lebih berkeadaan asid dan perkara tersebut akan membantu pembiakkan bakteria baik seperti bifidobacteria dan lactobacilli serta juga merencat pembiakan bakteria jahat.

Beberapa kelebihan prebiotik
  • Mengurangkan keradangan pada bahagian usus. Oleh itu, ia boleh mengurangkan serangan penyakit Inflammatory bowel disease
  • Sedikit sebanyak melindungi usus daripada terkena kanser usus
  • Meningkatkan kadar penyerapan garam galian seperti kalsium dan magnesium
  • Mengurangkan faktor risiko untuk kena sakit jantung dan strok
  • Menyebabkan rasa kenyang. Oleh itu, ia boleh menyebabkan pengurangan berat badan dan boleh mengelakkan obesiti

Adakah ia boleh menyembuhkan penyakit buah pinggang?


Jawapannya TIDAK.
Satu kajian dilakukan pada tahun 1996 melibatkan 16 orang pesakit buah pinggang. Pesakit tersebut diberi gam arab setiap hari dan disusuli selepas beberapa bulan. Ia menunjukkan penurunan bacaan urea iaitu salah satu kompaun yang tinggi ketika mana ada masalah buah pinggang. Tetapi dalam kajian ini, ia masih tidak menunjukkan organ buah pinggang tersebut sembuh
Jadi bagaimanakah arabic gum boleh mengurangkan bacaan urea di dalam pesakit ini? Untuk menjelaskan perkara ini, kita kena cerita kajian pada tahun 2014 dimana salah satu bakteria baik di dalam usus dibuktikan dapat mengurangkan bacaan urea di dalam darah. Ia disebabkan bakteria tersebut mampu menguraikan urea yang berada di dalam usus.
Oleh itu, disebabkan pengambilan prebiotik seperti arabic gum meningkatkan jumlah bakteria baik di dalam usus, ia juga akan menyebabkan penguraian urea di dalam usus meningkat. Oleh itu, ia akan menyebabkan bacaan urea di dalam darah semakin berkurangan.
Secara kesimpulannya, arabic gum tidaklah mampu menyembuhkan buah pinggang, tetapi ia hanya mengurangkan bacaan urea di dalam darah. Walaubagaimanpun, bacaan tersebut masih lagi tinggi jika hendak dibandingkan dengan mereka yang sihat
Penggunaan arabic gum diperbolehkan kerana ia mampu menyediakan keadaan yang bagus untuk pembiakan bakteria baik di dalam usus. Malah mampu mengurangkan faktor risiko untuk berhadapan dengan penyakit kronik seperti obesiti, kencing manis, sakit jantung dan sebagainya.
INGATAN PENTING: Bagi pesakit yang bergantung pada ubat-ubatan sebagai kelangsungan hidup menghadapi penyakit kronik atau mengalami jangkitan yang memerlukan antibiotik, antiviral pada kepekatan darah yang tepat, pengambilan arabic gum perlu diambil kira dan dipantau (seeloknya tidak perlu diambil). Berbincanglah dengan doktor dan ahli farmasi anda mengenai pengambilan arabic gum ini. Ini kerana pengambilannya boleh menjejaskan penyerapan beberapa jenis ubat-ubatan.
Kesimpulannya, arabic gum adalah makanan prebiotik yang selamat dan bagus untuk sistem pencernaan kita. Ia baik sebagai pencegahan dari beberapa penyakit kronik dan obesiti. Makanlah ia ketika anda sihat, bukan setelah sakit. Ia bukanlah ubat ajaib yang boleh menyembuhkan penyakit kronik seperti penyakit buah pinggang dan kencing manis yang anda hadapi.
Sumber : Root Of Science

Talks

Post a Comment

SMS/WhatsApp +6014 344 4454 untuk mendapat response yang lebih pantas! :)